Sunday 19 February 2012

Ustaz Don Gegarkan Kota Samarahan

Saat ditunggu telah tiba, akhirnya penceramah agama Islam yang semakin dikenali ramai, Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid, muncul di Bumi Kenyalang. Sambutan yang diterima,amat menggalakkan malah di luar jangkaan.

Antara destinasi yang dikunjungi Ustaz Don ialah Kota Samarahan, Sarawak. Kehadiran Ustaz Don ke IPG Kampus Tun Abdul Razak memang dinantikan, bukan sahaja dalam kalangan guru pelatih, malah penduduk sekitar Kota Samarahan ini.


Program Bicara Agama Bersama Ustaz Don ini berjaya menarik perhatian hampir 2000 hadirin (mungkin lebih) yang memenuhi Dewan Sri Samarahan,IPG KTAR ini. Malah tempat duduk memang penuh, sampai ada yang terpaksa bersila, malah ada yang terpaksa duduk di luar dewan.

Kehadiran di luar jangkaan ini membuktikan fenomena Ustaz Don turut melanda Bumi Kenyalang ini. Pendekatan dakwah santai beliau berjaya memukau mereka yang mendengarnya.
Suasana dalam dewan

bersila pun jadilah
luar dewan
Dalam program ini, Ustaz Don membicarakan mengenai kisah perjalanan hidup Rasulullah S.A.W,serta mengingatkan hadirin yang hadir untuk menghayati kembali sirah perjuangan Baginda serta merenung kembali sejauh mana terjemahan cinta kepada Rasulullah, kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Kehadiran hadirin sememangnya memeriahkan lagi dewan tersebut. Difahamkan, ada hadirin yang datang jauh dari kawasan Sebuyau, semata-mata untuk rasai fenomena ini.


Semoga ini menjadi permulaan kepada kebangkitan Islam. Mungkin suatu hari nanti, giliran Ustaz Azhar Idrus pula untuk gegarkan Bumi Kenyalang.

Thursday 16 February 2012

Jalur Tiga (JATI) Perjuangkan IMR


Akhirnya, persoalan apakah maksud nama JATI terjawab apabila Pengerusi Penajanya, Dr. Hassan Ali membuat sidang akhbar mengenai pra-pelancaran JATI.

Jalur Tiga (JATI), itulah nama organisasi baru di bawah pimpinan Hassan Ali (Hassan Akidah) selepas beliau dipecat secara rasmi dari Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Jalur Tiga melambangkan 3 asas perjuangan JATI iaitu Islam, Melayu dan Raja (IMR). Dari segi kasar, JATI dilihat mempunyai agenda hampir sama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Menurut Hassan Akidah,kewujudan JATI dan kumpulan pendesak Melayu itu (PERKASA) menjadi "pelengkap dan menghargai" antara satu dengan lain.

"Saya tidak bimbang, tidak ragu-ragu dan tidak ambil concern over duplication... Yang penting kita mengamalkannya.

"Kita compliment dengan mana-mana badan yang menjunjung Islam, Melayu dan Raja-raja. Aasalkan ada tiga elemen ini, kita sedia bekerja sama," katanya.

Hassan Akidah turut menegaskan, JATI tidak akan menyertai pilihan raya umum namun tidak menentang hasrat ahli-ahlinya untuk bertanding tetapi bukan atas kapasiti JATI. Ahli-ahli JATI yang bertanding hanya akan mewakili nama individu serta parti yang disertainya sahaja.

"Tidak boleh membawa logo, nama yang membabitkan JATI dalam gelanggang politik," katanya.

Monday 6 February 2012

Kategori Manusia Tak Layak Jadi Pemimpin

Menjadi pemimpin mungkin diidamkan oleh sesetengah pihak. Ada yang gembira mendapat kuasa, ada yang bangga dengan kuasa, dan ada yang takut bila diberi kuasa kepadanya untuk memimpin. Memimpin bermula dari serendah-rendah perkara yakni memimpin diri sendiri sehinggalah ke tahap tinggi yakni memimpin negara.

Menyedari pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.

PERTAMA: Orang Yahudi dan Nasrani. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka. Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” – Al-Maidah:51

KEDUA: Orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” – At-Taubah:23.

KETIGA: Orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/hatimu.” – Ali- Imran:118-119

KEEMPAT: Orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Alah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” – An-Nisa':144

Selain itu, Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya jangan dilantik kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin tetapi ada kebolehan.

Hal ini terbukti apabila Imam Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.” Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”

Islam tak melarang umatnya untuk berjawatan. Dan Islam tak menetapkan jawatan sebagai satu hak yang mesti diberi. Tak semestinya bila tidak berjawatan, kita hilang punca untuk berkhidmat kepada ummah. Setiap manusia ada peranannya. Jawatan dalam Islam merupakan satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan/kepemimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan/memimpin tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”

Mereka yang faham akan erti bebanan jawatan sudah pasti akan takut untuk memegangnya. Amanah yang terberat sudah pasti akan menjadi penentu utama destinasi kita selepas mati. Andai adil kita lakukan semasa berjawatan, maka mudahlah untuk kita berada di mahsyar kelak namun jika kezaliman kita lakukan, maka tunggulah kehancuran.

Sunday 22 January 2012

Cinta #1: Setia Dalam Perpisahan


Cinta. Rasanya tak perlu nak huraikan panjang lebar.Definisi cinta confirm ramai dah yang tau. Ada yang definisinya positif dan ada yang negatif.

Cinta memang indah,malah ada yang sanggup miskin untuk cinta,sanggup buat apa saja untuk cinta. Semua manusia bercinta tapi yang membezakan, matlamat cinta diri kita. 

Apa guna bercinta kalau matlamatnya bukan ke arah perkahwinan? Persoalan ni la yang sering manusia hadapi tatkala dipertengahan 'cinta'. Dan realiti ni memang kita fikirkan balik.

Kita sering menganggap cinta itu untuk suka-suki sana-sini. Tapi kita lupa dek kerana tanggapan itulah gak buat hati kita tak tenang. Andai itu kita hadapi, tinggalkan saja cinta tu ok.

Sakit untuk tinggalkan cinta, memang tak dapat dinafikan. Tapi andai iman masih ada,realiti mesti kita terima. Tinggalkan cinta bukan bermakna benci. Malah tinggalkan cinta yang sementara mungkin salah satu cara untuk belajar setia.Pelik bunyinya tapi realiti kita kena fikir gak.

Kita katakan kita cintakan si dia,dan bila konflik melanda,putus cinta kita hadapi. Tapi tak bermakna ruang untuk perkahwinan dah hilang. Bukankah waktu bercinta,sejuta lafaz setia kita ungkapkan tapi bila jadi konflik, perlukah sejuta lafaz cacian diungkapan pula? Waktu konflik ni lah kita perlu belajar untuk setia. Setia bermaksud berdoa dan cuba lakukan yang terbaik untuk diri.

Berubah,berfikir dan bermuhasabah, 3 perkataan ni mampu untuk kita isikan sebagaimana salah satu cara untuk buktikan kesetiaan. Berpisah mungkin membuatkan kita terfikir untuk sesuatu yang lebih baik. Andai kau cintakan si dia, kenapa tidak kau tunggu si dia sambil tetapkan matlamatmu ke arah masa depan. 

Andai setia itu penamatnya jodoh, terimalah seadanya. Dan andai penamat setia itu perpisahan yang kekal, nak tak nak kena terima. Doa adalah senjata dan Allah adalah pemilik cinta kita sebenar. Cinta bukan semuanya untuk dimiliki dan cinta perlukan pengorbanan. Apapun, belajarlah untuk setia menanti.

Monday 9 January 2012

Pro-Common Sense Jawapan Terbaik!


Tertarik dengan video terbaru dari Anwar Hadi. Ni video siri ke #18,tajuk dia Pro-Common Sense. Ulasan yang bagi aku cukup bagus. Masa dah tiba untuk masyarakat kita buka minda,jangan duduk bawah tempurung lagi.

Pro-Common Sense ni mesej dia mudah je, kita jangan sokong membabi buta tanpa kita faham dulu isu sebenar. Penyakit sebenar masyarakat kita terutama masyarakat Melayu ialah bila kita melawan, label pro-pembangkang akan dicop atas dahi,bila kita sokong dasar kerajaan, label pro-kerajaan dicop atas dahi. Tapi dalam kita sokong, pernah tak kita terfikir apa matlamat kita sebenar?

Lebih parah lagi bagi golongan yang hidup dia just fikir hiburan ja.Apa jadi kat sekeliling,lantak kaulah. Janji tak kacau hidup aku.Apa jadi dekat negara,lantaklah janji aku masih mampu hidup.

Bagi aku, minda orang kita kena buka. Jangan just fokus untuk satu benda ja. Kalau kaki hiburan, sampai ke mati berhibur ja,kalau sukakan ilmu agama,ilmu dunia terus tinggal, dan macam-macam lagilah.

Biarlah kita menyokong tu ada asas.Tak salah ada ideologi masing-masing tapi andai kata rakan seideologi kita tu salah, takkan kita nak kata betul. Tu pengajaran paling berharga aku dapat dari video ni.

Bagi aku, janganlah kita pro-kerajaan atau pro-pembangkang tapi biarlah kita pro kepada isu semasa. Kalau rasa benda tu bukan bidang kita, baik diam saja.

Gua respect sama Anwar Hadi.(^_^)

Wednesday 4 January 2012

Apa Kata Mufti Kedah Tentang Madrasah Salihiah

Sekarang ni isu Madrasah Salihiah memang hangat diperkatakan oleh media perdana yang kononnya prihatin terhadap perjuangan umat Islam. Mereka bercakap seolah sebuah masjid cuba diruntuhkan sedangkan taraf Madrasah Salihiah (hakikatnya bukan madrasah pun) bukanlah sebuah masjid.

Sebagai orang tempatan di kawasan Alor Setar dan berhampiran Mergong, memang kewujudan Madrasah Salihiah ni tak ramai yang ambil peduli sebelum ni. Tapi bila jadi isu politik, mereka yang tak arif dalam agama pun jadi hero agama. Sampaikan mereka lebih hebat dar Majlis Fatwa Negeri Kedah.

Memang diharapkan Mufti Kedah, Sohibusssamahah  Sheikh Baderuddin Ahmad untuk tampil bagi penjelasan mengenai isu ni supaya isu macam ni tak jadi isu politik. Dan kini beliau tampil dalam wawancara Sinar Harian. Harap lepas ni orang Melayu yang cukup tebal sentimen perkauman tu buka minda sikit.



Monday 2 January 2012

Perubahan Amalina Che Bakri


Jujurnya, saya terkejut bila tengok gambar-gambar Amalina Che Bakri dalam laman-laman blog. Dulu dia ni antara pencetus semangat orang Melayu dan Islam di Malaysia untuk jadi role model sebab kejayaan dia capai 17A dalam SPM 2004 yang lalu.

Time tu seantero Malaysia julang nama dia dengan harapan dia boleh jadi role model kepada pelajar lain. Tapi kegembiraan tak lama,satu demi satu kontroversi tentang Amalina timbul. Ada kata dia gagal lah,itulah inilah.


Dan sekarang bagi saya, kebanggaan dulu rupanya tak ke mana pun. Kejutan budaya mungkin terkena dekat diri insan ni.

Bukan nak hina, bukan nak perlekeh tapi terkilan bila orang yang jadi idola time belajar kat sekolah dulu dah jadi lain. Sepatutnya mereka yang berjaya jadi contoh untuk memanusiakan manusia tapi lain jadinya.




Harapan, moga hidayah sampai untuk Amalina buat pusingan U balik. Memang kita jangan pandang rendah pada mereka yang ada masalah sosial ni tapi dalam kes dari positif ke negatif, sapa tak sedih.

Jangan salahkah keluarganya,salahkan diri sendiri dulu.

Sunday 1 January 2012

Kisah Uwais al-Qarni

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali :

“ Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. ”

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “ al-Mubasyirun bil Jannah ” iaitu mereka sudah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali :

“ Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Umar dan Ali bertanya kepada Nabi s.a.w. soalan yang sama iaitu :

“ Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? “

Nabi menjawab :

“ Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan Nabi s.a.w. , minta sesuatu yang baik kepada mereka, Nabi s.a.w. menjawab :

“ Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt. ”

Maka topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari, yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau secara logiknya, ahli syurga seolah tidak perlu kepada pengampunan dosa daripada Allah s.w.t. kerana mereka sudah dijamin masuk syurga, namun tidak, Nabi s.a.w. masih menekankan supaya meminta Allah untuk mengampunkan dosa.

Memang benarlah firasat seorang Nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari arah Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Nabi s.a.w. maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang kurang berakal.

Siapakah Uwais Al-Qarni?

Asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “ Haudat ”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :

“ Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji. ”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dirinya gila.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya :

“ Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah? ”

Uwais menjawab :

“ Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi :

“ Bagaimana pula dengan dosa kamu? ”

Uwais menjawab :

“ Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga. “

Ibunya berkata lagi :

“Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini. “

Uwais berkata :

“ Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala. “

Ibunya menambah :

“ Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa. ”

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa :

“ Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit. ”

Allah s.w.t. menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w. kepada Umar dan Ali.

” Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni. “

Tidak lama kemudian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah.


Sayyidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. , mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata :

“ Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. “

Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Kematiannya Disambut Penduduk Langit*

Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.

Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.

Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,

"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas di kuburnya."

(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)

Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.

Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.

Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"

"Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."

Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.


"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."

*dipetik dari artikel Uwais Al-Qarni:Namanya agung dibibir penduduk langit

Download lagu Uwais al-Qarni dari Are-Buddy