Sunday 19 February 2012

Ustaz Don Gegarkan Kota Samarahan

Saat ditunggu telah tiba, akhirnya penceramah agama Islam yang semakin dikenali ramai, Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid, muncul di Bumi Kenyalang. Sambutan yang diterima,amat menggalakkan malah di luar jangkaan.

Antara destinasi yang dikunjungi Ustaz Don ialah Kota Samarahan, Sarawak. Kehadiran Ustaz Don ke IPG Kampus Tun Abdul Razak memang dinantikan, bukan sahaja dalam kalangan guru pelatih, malah penduduk sekitar Kota Samarahan ini.


Program Bicara Agama Bersama Ustaz Don ini berjaya menarik perhatian hampir 2000 hadirin (mungkin lebih) yang memenuhi Dewan Sri Samarahan,IPG KTAR ini. Malah tempat duduk memang penuh, sampai ada yang terpaksa bersila, malah ada yang terpaksa duduk di luar dewan.

Kehadiran di luar jangkaan ini membuktikan fenomena Ustaz Don turut melanda Bumi Kenyalang ini. Pendekatan dakwah santai beliau berjaya memukau mereka yang mendengarnya.
Suasana dalam dewan

bersila pun jadilah
luar dewan
Dalam program ini, Ustaz Don membicarakan mengenai kisah perjalanan hidup Rasulullah S.A.W,serta mengingatkan hadirin yang hadir untuk menghayati kembali sirah perjuangan Baginda serta merenung kembali sejauh mana terjemahan cinta kepada Rasulullah, kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Kehadiran hadirin sememangnya memeriahkan lagi dewan tersebut. Difahamkan, ada hadirin yang datang jauh dari kawasan Sebuyau, semata-mata untuk rasai fenomena ini.


Semoga ini menjadi permulaan kepada kebangkitan Islam. Mungkin suatu hari nanti, giliran Ustaz Azhar Idrus pula untuk gegarkan Bumi Kenyalang.

Thursday 16 February 2012

Jalur Tiga (JATI) Perjuangkan IMR


Akhirnya, persoalan apakah maksud nama JATI terjawab apabila Pengerusi Penajanya, Dr. Hassan Ali membuat sidang akhbar mengenai pra-pelancaran JATI.

Jalur Tiga (JATI), itulah nama organisasi baru di bawah pimpinan Hassan Ali (Hassan Akidah) selepas beliau dipecat secara rasmi dari Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Jalur Tiga melambangkan 3 asas perjuangan JATI iaitu Islam, Melayu dan Raja (IMR). Dari segi kasar, JATI dilihat mempunyai agenda hampir sama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Menurut Hassan Akidah,kewujudan JATI dan kumpulan pendesak Melayu itu (PERKASA) menjadi "pelengkap dan menghargai" antara satu dengan lain.

"Saya tidak bimbang, tidak ragu-ragu dan tidak ambil concern over duplication... Yang penting kita mengamalkannya.

"Kita compliment dengan mana-mana badan yang menjunjung Islam, Melayu dan Raja-raja. Aasalkan ada tiga elemen ini, kita sedia bekerja sama," katanya.

Hassan Akidah turut menegaskan, JATI tidak akan menyertai pilihan raya umum namun tidak menentang hasrat ahli-ahlinya untuk bertanding tetapi bukan atas kapasiti JATI. Ahli-ahli JATI yang bertanding hanya akan mewakili nama individu serta parti yang disertainya sahaja.

"Tidak boleh membawa logo, nama yang membabitkan JATI dalam gelanggang politik," katanya.

Monday 6 February 2012

Kategori Manusia Tak Layak Jadi Pemimpin

Menjadi pemimpin mungkin diidamkan oleh sesetengah pihak. Ada yang gembira mendapat kuasa, ada yang bangga dengan kuasa, dan ada yang takut bila diberi kuasa kepadanya untuk memimpin. Memimpin bermula dari serendah-rendah perkara yakni memimpin diri sendiri sehinggalah ke tahap tinggi yakni memimpin negara.

Menyedari pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.

PERTAMA: Orang Yahudi dan Nasrani. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka. Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” – Al-Maidah:51

KEDUA: Orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” – At-Taubah:23.

KETIGA: Orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/hatimu.” – Ali- Imran:118-119

KEEMPAT: Orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Alah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” – An-Nisa':144

Selain itu, Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya jangan dilantik kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin tetapi ada kebolehan.

Hal ini terbukti apabila Imam Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.” Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”

Islam tak melarang umatnya untuk berjawatan. Dan Islam tak menetapkan jawatan sebagai satu hak yang mesti diberi. Tak semestinya bila tidak berjawatan, kita hilang punca untuk berkhidmat kepada ummah. Setiap manusia ada peranannya. Jawatan dalam Islam merupakan satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan/kepemimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan/memimpin tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”

Mereka yang faham akan erti bebanan jawatan sudah pasti akan takut untuk memegangnya. Amanah yang terberat sudah pasti akan menjadi penentu utama destinasi kita selepas mati. Andai adil kita lakukan semasa berjawatan, maka mudahlah untuk kita berada di mahsyar kelak namun jika kezaliman kita lakukan, maka tunggulah kehancuran.