Sunday, 4 December 2011

Di Sebalik Tarikh 10 Muharram

Tarikh 10 Muharram merupakan satu tarikh kebesaran yang ada dalam tahun Hijrah. 10 Muharram turut dikenali sebagai hari Asyura'.

Perkara sunat paling utama yang digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam ialah puasa sunat hari Asyura'.

Hadith daripada Aisyah:

"Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan". Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Baginda bersabda:

"Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.


Dalam menunaikan puasa sunat Asyura, umat Islam disunatkan melaksanakan puasa sejak 9 Muharram bagi membezakannya dengan puasa orang Yahudi. Hal ini kerana orang Yahudi turut berpuasa pada 10 Muharram.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata,

“Ketika Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa padanya, mereka menyampaikan, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nashrani.’ Lalu beliau shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, ‘Kalau begitu, pada tahun depan insya Allah kita berpuasa pada hari kesembilan’. Dan belum tiba tahun yang akan datang, namun Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam sudah wafat.” (HR. Muslim, no. 1916);Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.

Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

Pendapat sebahagian Ulamak pula ialah sunat berpuasa Hari Kesembilan, Hari Kesepuluh dan Hari Kesebelas berdasarkan hadis riwayat Ahmad bermaksud,

“Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”.

PERISTIWA DI SEBALIK 10 MUHARRAM

10 Muharram juga merupakan satu tarikh yang menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku.

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukha syafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:
  1. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  2. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  3. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  4. Allah menjadikan 'Arasy.
  5. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  6. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  7. Nabi Adam a.s. dicipta.
  8. Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
  9. Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
  10. Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
  11. Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
  12. Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
  13. Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
  14. Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
  15. Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
  16. Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
  17. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
  18. Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  19. Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
  20. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  21. Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
  22. Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala 
Moga info yang saya kongsikan ini mampu memberi kebaikan kepada kita semua. 

Geofrey Peluk Islam

Pelakon baru berketurunan Australia, Geofrey Perrin Williams atau nama Islamnya Jufri Rayyan Williams, 27, berasa lebih bertanggungjawab selepas memeluk Islam pada bulan lepas.

Dia pernah muncul dalam beberapa buah drama tempatan seperti Habil dan Qabil, Cikgu Kemisah Kirby, Jangan Bunuh Matahariku, Jodoh Oh Jodoh, Durja Ningsun, Ar Rayyan dan Lilin Cinta.

Menurut pelakon yang selesa menggunakan nama Islamnya, Rayyan, tanggungjawabnya lebih besar memandangkan banyak perkara yang perlu diambil berat agar semua perkara yang dilakukan diterima oleh Allah.

“Saya sudah buka pintu yang tak pernah buka sebelum ini. Sebaik saya melangkah sekaki ke depan, saya rasa seperti sudah masuk ke dunia baru.

“Saya bersyukur kerana mendapat hidayah untuk memeluk Islam dan merasa tenang walaupun tanggungjawab saya menjadi lebih besar selepas ini.

“Saya bimbang jika ada yang akan gelakkan saya kerana saya masih kekok untuk membaca al-Quran melainkan hanya tahu mengucap dua kalimah syahadan dan membaca Al-Fatihah,” katanya kepada mStar Online.


Bagaimanapun dia tidak malu untuk mendapat tunjuk ajar daripada abangnya, Nordin Abdullah yang telah lama memeluk Islam pada tahun 1992 dan bapa kepada kekasihnya, pramugari Air Asia X, Juiza.

“Saya masih belajar untuk solat melalui abang dan ayah kekasih saya. Selain itu, saya ada merujuk buku-buku agama seperti buku panduan solat untuk mualaf yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Setiap bulan, saya perlu melapor di Jawi untuk menilai sejauh mana progresif saya mendalami Islam,” katanya.

Jelas Rayyan, banyak perkara yang membuatkan dirinya nekad memeluk Islam.

“Saya memeluk Islam kerana banyak sebab. Pertama, saya menjadikan abang saya, Nordin yang telah lama memeluk Islam sebagai contoh. Walaupun saya mempunyai kekasih berketurunan Melayu dan beragama Islam, tetapi saya memeluk Islam bukan kerana dia.

“Setiap kali berlakon, saya selalu melakonkan watak mualaf dan semua itu membuatkan saya perlu membuat kajian untuk menghayati watak itu dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang Islam.

“Selain itu, saya mempunyai beberapa orang kawan iaitu Shahirah Alaiza yang menjadi kawan di pejabat lama dulu dan pelakon Adzriefaiz Azlan yang banyak berkongsi pengetahuan tentang Islam seperti kelebihan dan pantang larang orang Islam. Jadi, semua itu membuka mata saya,” jelasnya panjang lebar.

Mengenai reaksi keluarga setelah dia memeluk Islam, Rayyan agak bertuah kerana mempunyai ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang memahami dan memberi sokongan kepada keputusannya itu.

“Ibu saya bertanyakan kepada saya sama ada saya akan berkahwin dengan kekasih saya dalam masa terdekat ini. Tetapi saya tak nak komen apa-apa lagi walaupun kami serius berkawan sejak lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, abang saya, Nordin dan kedua ibu bapa saya sangat gembira apabila saya memaklumkan berita ini,” ujarnya lagi.

Rayyan melafaz dua khalimah syahadah di sebuah masjid di Kampung Jijan berdekatan Sepang seminggu sebelum mendaftar dan sekali lagi melafaz dua kalimah syahadah di pejabat Jawi pada 30 November lalu.

Menyentuh tentang karier seni, Rayyan masih aktif berlakon seperti biasa dan baru selesai menjalani penggambaran drama Tok Ayah dan Jangan Bunuh Matahariku musim kedua serta muncul dalam filem Azura dan filem Hong Kong, Viral Factor.

Selain itu, dia akan menjalani penggambaran sekuel drama Cikgu Kemisah Kirby pada Isnin ini dan selepas itu mendapat tawaran untuk berlakon sebuah telefilem.

Saturday, 3 December 2011

SMS HIV Dalam Pepsi dan Coke Adalah Palsu

Mungkin ramai yang mendapat SMS seperti ni:

"Utk beberapa hari akan datang, jangan mengambil minuman dari mana – mana produk dari syarikat Pepsi, Tropicana juice, Slice, 7UP, Coke dan lain – lain kerana ada pekerja dari syarikat itu telah menambah darahnya yang tercemar dengan HIV. Tengok Ntv7. Sebarkan kepada orang tersayang


"the next few days, do not drink any prdct frm pepsi compny like Pepsi,Tropicana Juice,Slice,7up, Coca Cola,etc,as a worker frm the cmpny added his bloog cntaminatd wit HIV.watch NTV7.plz 4ward this 2 every1 u care abt."

Rupa-rupanya SMS yang dihantar tersebut adalah palsu. Isu penyebaran SMS secara meluas yang menyeru pengguna supaya tidak mengambil minuman seperti Pepsi, Tropicana, 7up dan beberapa minuman lain kerana mempunyai campuran darah yang dijangkiti penyakit HIV disahkan palsu oleh pihak pengurusan pemasaran.


Menurut Naib Presiden Pemasaran Permanis Sdn Bhd, Hemalatha Ragavan, yang dipetik dari Harian Metro berkata ada individu yang cuba menyebarkan SMS palsu itu tanpa usul periksa.

Perkara itu dipercayai ditulis dalam sebuah laman web dari luar negara pada Julai 2011 mengenai insiden darah HIV kononnya sengaja dicampurkan dalam minuman popular dan maklumat tidak dipercayai rakyat negara itu sendiri.

al-Ma'unah:Dari Silat Kepada Silap

Negara pernah digemparkan dengan peristiwa rampasan senjata di salah sebuah Kem Askar Wataniah pada 2 Julai 2000. Peristiwa itu akan mengingatkan kita kepada sebuah pertubuhan silat, Persaudaraan Ilmu Dalam al-Ma'unah (al-Ma'unah).


Siapa al-Ma'unah?


Persaudaraan Ilmu Dalam al-Ma'unah merupakan sebuah pertubuhan silat. Al-Ma'unah memulakan operasi mereka sejak September 1998. Pada awal penubuhan, al-Ma'unah dianggotai seramai 54 anggota di Klang. Sebelum berlakunya Peristiwa Bukit Jenalek,Sauk,Perak, al-Ma'unah dipercayai mempunyai anggota seramai 1700 ahli dari seluruh Malaysia termasuk negara Brunei.


Pertubuhan in ditubuhkan oleh Mohd Amin bin Mohd Razali. Mohd Amin dikenali sebagai Guru Utama dalam organisasi al-Ma'unah.Dia dikatakan menguasai ilmu dalam (persilatan) serta perubatan tradisional. Sejak umur 16 tahun, Amin dikatakan telah membaca kitab-kitab berkaitan perubatan tradisional, silat dan ilmu-ilmu berkaitan dengan mistik.

Dia telah mendapat pendidikan awal dalam kajian agama di Pondok Misbah al-Falani, Lanai, sebuah sekolah agama yang terletak di Malaysia. Setelah menamatkan pengajian, dia menyebarkan pengaruh di Indonesia, yang terkenal dengan sekolah-sekolah agama di bawah "pondok" atau dikenali sebagai, "pesantren".
Ketika berada di Indonesia, dia bertemu Ibnu Abbas, Penasihat Al-Ma'unah. Asal usul sebenar al-Ma'unah adalah bermula dari Indonesia. Amin telah menjadi anak murid setia kepada Ibnu Abbas. Setelah melalui latihan yang berat dan ujian yang ketat, baik secara fizikal dan rohani,d ia diberi mandat untuk membuka sekolah di Malaysia. Dari satu pusat di Kelang, ia telah membuka cabang lain di seluruh Malaysia dan luar negara.

Motto dan Matlamat al-Ma'unah

Motto al-Ma'unah ialah berilmu,beramal,beriman dan bertaqwa. Matlamat asal al-Ma'unah ialah:

  • Untuk mempromosikan hubungan yang positif dan membangun rasa persaudaraan di antara semua umat Islam dan umat manusia;
  • Untuk mendapatkan penghormatan terhadap seni bela diri Islam di kawasan dan dunia;
  • Untuk melakukan pekerjaan sukarela dan kesejahteraan dan untuk membantu sesama umat manusia mana mungkin;
  • Untuk menjaga maruah diri dan untuk menegakkan rasa hormat dari orang Melayu dan agama Islam dan
  • Untuk melindungi kekayaan seseorang, keluarga khususnya dan masyarakat pada umumnya


Peristiwa Bukit Jenalik

Mohamed Amin bin Mohamed Razali yang merupakan pemimpin kepada 29 ahli kumpulan Al-Ma'unah mengetuai misinya untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. Salah seorang daripada yang terlibat ialah seorang Mejar daripada Tentera Darat Malaysia. Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, negeri Perak. Merekaberjaya memperdayakan anggota tentera di situ dan melarikan senjata-senjata di kem tersebut.

Mereka sebelum ini memperolehi maklumat kelemahan sistem keselamatan kem tentera melalui pelbagai jalan keluar dan melindungi tiga unit kenderaan pacuan empat roda Pajero. Kenderaan Pajero yang dikatakan sama digunakan oleh tentera diwarnakan dengan warna hijau dan menggunakan nombor pendaftaran palsu di sebuah garaj rumah di Kati, untuk digunakan khas sebagai kenderaan masuk kumpulan tersebut.

Pada awal pagi 2 Julai 2000, 20 ahli kumpulan Al-Maunah menaiki tiga kenderaan Pajero dan bergerak ke Pos 2 Kem Kuala Rhui pada jam 2.50 pagi dan kemudian ke Kem Bn 304 Rejimen Askar Wataniah pada jam 4.15 pagi.

Mereka berkata kepada pegawai kem tersebut dengan alasan ingin mengadakan pemeriksaan mengejut, dengan memberitahu ingin membuat pemeriksaan kecemasan ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem tersebut. Atas pelbagai tekanan yang diberi oleh Amin dan orang-orangnya dan diyakinkan oleh kehadiran tiga kenderaan Pajero yang menggunakan nombor pendaftaran tentera yang bermula dengan huruf 'Z', anggota tentera di dua kem tersebut berjaya diperdyakan dengan membawa mereka masuk ke dalam kem tetapi salah satu daripada pelbagai jenis senjata, amunisi dan kelengkapan ketenteraan termasuk peralatan komunikasi dan lain-lain telah membantu kumpulan itu membawa senjata-senjata itu ke dalam tiga Pajero. Mereka berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dan imunisasi, iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartus peluru bom tangan berkaliber 40mm.

27 orang ahli tersebut kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit Jenalik, Sauk, negeri Perak. Amin mengagih-agihkan semua senjata-senjata yang dilarikan tersebut kepada orang-orangnya untuk dilatih. Bunyi tembakan yang jarang di dengar oleh penduduk kampong hasil daripada tembakan senjataapi tersebut telah menarik perhatian polis. Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk menjayakan rancangan mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan membawanya ke dalam pengkalan mereka di Bukit Jenalik. Bekalan makanan yang diperolehi itu hanya cukup untuk tiga bulan sahaja. Mereka juga turut memperolehi senjata lain seperti parang dan senjata senapang panah untuk menjayakan misi mereka.

Sepasukan polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka. Sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Ma'unah. Walaubagaimanapun, dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah bin Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar bin Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Ma'unah.

Dalam radio komunikasi yang digunakan oleh kumpulan itu, mereka memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi. Jaafar ditangkap ketika beliau sedang meneliti dusun duriannya.

Mohd Shah bin Ahmad menceritakan semasa percubaan selama lebih 4 hari, anggota pasukan keselamatan tersebut telah diseksa dan dianiaya. Mereka dipaksa menggali parit di kawasan Bukit Jenalik untuk dijadikan sebagai kubu pertahanan sekiranya pangkalan mereka diserang. Pada sebelah malam, mereka telah diikat pada pohon durian. Pada masa itu, Mohd Shah dan Sanghadevan mengkebumikan Truper Matthews didalam salah satu parit kubu tersebut. Truper Matthews ditangkap oleh Jemari bin Jusoh dan apabila Amin mengetahui identiti Truper Matthews, Amin menyeksa Matthews dengan menembak kakinya. Amin kemudiannya menyuruh Jemari menembak Truper Matthews.

Pada pagi 5 Julai 2000, seorang anggota Al Ma'unah, Abu Bakar bin Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Amin dan rakan-rakannya bertindak membalas tembakan. Semasa tembak-menembak tersebut, Sanghadevan telah ditembak mati. Mayat Sanghadevan kemudiannya dikebumikan bersebelahan Truper Matthews oleh Mohd Shah dan Jaafar.

Serah diri

Kumpulan Al-Ma'unah kemudiannya menyerah diri, dan pemimpin yang dikatakan orang yang mendalangi percubaan untuk "melancarkan pemberontakan menggulingkan Raja". Kerajaan Malaysia bertindak memerangi ahli kumpulan Al-Ma'unah selepas memberi peluang untuk kumpulan tersebut menyerah diri dan menghentikan sebarang percubaan untuk mendapatkan sokongan awam kepada ahli kumpulan Al-Ma'unah dan menyatupadukan mereka kembali kepada masyarakat.

Mohamed Amin kemudiannya menyerah diri. Sebelum itu, beliau yang bersenjatakan raifal M16/M203 telah menarik kolar pakaian Leftenan Jeneral Zaini Mohd Said, komander Tentera Darat Malaysia dan cuba untuk menembaknya dari jarak dekat. Tetapi Zaini bertindak menepis laras senjata Amin dan telah tertembak salah seorang anggota militan. Zaini kemudiannya dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) atas keberaniannya dan sumbangannya menamatkan keganasan tersebut tanpa mempedulikan nyawa beliau.

Sebenarnya, dua jam sebelum insiden tersebut, ASP Abd Razak bin Mohd Yusoff terlebih dahulu bergerak ke markas tersebut bersama dengan 20 orang anggota pasukan elitnya 69 Komando PGK PDRM menaiki bukit ke arah di Kumpulan Al-Ma'unah berkhemah. Setelah mendapat perlindungan yang sesuai untuk ahli kumpulannya, Abdul Razak bergerak bersendirian menyelinap masuk ke kubu. Dengan sikap berani dan tawakkal, beliau menemui sendiri Ketua Kumpulan Al-Ma'unah iaitu Amin. Maka, berlakulah perbincangan dan perdebatan secara 'ilmiah' antara Abdul Razak dan Amin (perdebatan ini telah dibukukan oleh Abdul Razak) yang mengambil masa selama 2 jam dan akhirnya, ketua kemupulan Al-Ma'unah tersebut bersetuju untuk menyerah diri. Maka, setelah Amin setuju untuk menyerah diri barulah ASP Abdul Razak memanggil Pasukan Leftenan Jeneral Zaini untuk proses perletakkan senjata. Di atas keberanian dan kebijaksanaan berbincang (excellent negotiation skill) Abdul Razak, beliau telah dianugerahi pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) atas jasanya. Pada masa itu, Abdul Razak adalah pegawai yang mengetuai pasukan payung terjun polis anti-pengganas 69 Komando PGK Polis Diraja Malaysia.

Kematian

Dianggarkan tiga orang telah terkorban sebelum kumpulan tersebut menyerah diri. Detektif Koperal R. Sanghadevan daripada Cawangan Khas PDRM dibunuh, sebahagiannya mendakwa beliau terbunuh, semasa pengepungan oleh 59 anggota polis dan tentera. Pengganas militan tersebut turut membunuh seorang anggota komando, Truper Mathew anak Medan dari Grup Gerak Khas ATM, yang mana beliau ditembak mati oleh Jemari Jusoh. Kesemuanya diseksa sebelum dibunuh. Orang ketiga yang terbunuh adalah seorang daripada ahli kumpulan tersebut dimana beliau ditembak mati apabila beliau enggan menyerah diri.

Serangan Lain

Mohamed Amin turut menghantar rakannya untuk meletupkan kilang minuman keras Anchor dan Carlsberg di Petaling Jaya berhampiran Kuala Lumpur dan kuil Hindu di Batu Caves. Serangan itu menyebabkan hanya kerosakan kecil sahaja. Ahli kumpulan tersebut, Shahidi dan Khairul Anuar, kemudiannya diarahkan untuk meletupkan kilang Carlsberg di pinggir kota Kuala Lumpur dengan senjata pelancar bom tangan yang dirampas daripada kem tentera.

Dari Silat Kepada Silap
Kehebatan al-Ma'unah berselindung disebalik aktiviti silat akhirnya membawa padah. Ketaksuban yang melampau oleh ahli-ahli pertubuhan ini kononnya Amin adalah wali Allah dan merasakan diri mereka kebal. Kerana taksub, mereka terjebak kepada pembunuhan.

Malah tragedi Bukit Jenalik membuktikan bahawa segala objektif pertubuhan ini lari secara total. Berhati-hatilah sebelum menyertai mana-mana pertubuhan.

* artikel ditulis berdasarkan wikipedia, laman rasmi al-Ma'unah dan bacaan dari blog-blog

Friday, 2 December 2011

Banjir Kilat di Kajang

Dengar kata Kajang,Selangor dilanda banjir. Moga Allah bantu teman-teman di sana.Setiap ujian Allah mesti ada sebabnya.

Banjir mula melanda akibat hujan lebat melanda Kajang selepas solat Jumaat. Keadaan ini menyebabkan paras air sungai meningkat dengan mendadak.






Takziah kepada mangsa banjir yang mengalami kerugian. Moga terima ujian Allah dengan redha.

Filem Ombak Rindu: Antara Mesej & Kontroversi


1 Disember 2011,rasanya satu tarikh sejarah buat saya sebab tarikh ni buat julung kali saya berpeluang tengok wayang filem yang betul-betul ditayangkan untuk hari pertama. Kebetulan filem yang ada pada waktu tu hanya filem Ombak Rindu. So, apalagi belilah tiket dengan kawan.

Filem ni ramai yang kata akan meletup sebab diadaptasi dari novel terkenal,Ombak Rindu. Pengarah filem ni pun pengarah yang sama mengarahkan filem Lagenda Budak Setan.

Dalam filem Ombak Rindu ni,kontroversi memang tak dapat dinafikan. Aksi panas yang dikatakan oleh kebanyakkan blogger memang secara tak langsung 'mempromosikan' lagi filem ni. Aksi panas yang dimaksudkan ialah adegan antara Aaron Aziz dan Maya Karin.


Dek kerana aksi itu,maka hebohlah satu Malaysia tentang negatifnya filem ni. Dek kerana aksi itu juga segala aspek positif yang cuba dipaparkan menjadi negatif.

Secara peribadi,saya berpandangan aksi panas yang dipaparkan dalam Ombak Rindu tidak sepanas aksi lain yang lagi terang-terangan mempromosikan seks. Lihat saja filem Embun, Klip 3GP, ...Dalam Botol, malah dalam Karipap-Karipap Cinta pun,'promosi' seks lebih ketara. Adegan yang dikatakan panas itu tidaklah sampai membawa maksud lucah kerana dalam babak tersebut, mereka memainkan watak sebagai suami isteri.

Bukan menghalalkan adegan tersebut,saya akui dosa tetap berdosa tetapi dalam dunia akhir zaman, saya merasakan semua program ada dosanya. Teringat kata-kata Akhil Hayy dalam kebanyakkan ceramahnya, nak buat apapun dalam dunia sekarang bawa iman sekali.

Sedikit review tentang filem ni, Ombak Rindu ada kelainannya yang tersendiri. Adaptasi yang dilakukan oleh pengarah filem ini,Osman Ali nyata ada perubahan pada watak Hariz. Kalau dalam novel,watak Hariz digambarkan terlalu keras dan 'hitam' namun dalam filem,watak 'hitam' Hariz berjaya ditukar menjadi seorang lelaki yang berubah setelah mengahwini Izzah.

Maya Karin sebagai Izzah
Ketabahan hati Izzah dalam filem ni turut menarik minat saya.Kenapa? Kerana watak Izzah menggambarkan ketabahannya sebagai seorang wanita yang bangun secara hikmah walaupun dirinya dinodai oleh Hariz. Dia berjaya memujuk Hariz mengahwininya dan Izzah boleh dikatakan berjaya mengubah watak 'hitam' Hariz menjadi seorang lelaki yang ada perikemanusiaan.

Ujian demi ujian yang melanda perkahwinan mereka berjaya ditempuhi.Kehadiran Mila pada awalnya dilihat seperti watak yang cukup jahat. Tapi nyata meleset. Mila yang berkahwin dengan Hariz pada hakikatnya ada perasaan murni sebagai seorang wanita. Pengorbanan Mila pada akhir filem ni mungkin menyentuh sikit perasaan. Dia sanggup diceraikan demi kebahagiaan Izzah dan Hariz.


Filem Ombak Rindu ni bagi saya sepatutnya membuktikan keberanian untuk menyampaikan mesej kelebihan poligami. Tertarik dengan kata-kata Izzah yang sanggup bermadu tapi ditolak oleh Mila. Pada pandangan saya, apa salahnya kalau pengarah teruskan pengakhiran cerita ni dengan mengubahnya kepada yang baru. Tunjukkan kelebihan poligami kepada orang kita. Kalau watak Hariz boleh diubah kenapa pengakhiran filem ni tak boleh?

Apapun, Ombak Rindu tetap ada pro dan kontra. Positif filem ini ialah paparan mesej-mesej yang disampaikan dan negatif filem ini ialah aksi panas yang diperkatakan. Gunakan akal dan bawalah iman dalam menilai.