Daripada Anas radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “ Ulama itu ada tiga jenis– Pertama orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (yang mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. Kedua orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). Ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dengan ilmunya”. H.R Ad-Dailami
Hadis yang diriwayatkan dari Ad-Dailami ini menerangkan bahawa orang alim atau ulama itu terdiri daripada tiga golongan.Golongan pertama iaitu orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (yang mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya bermaksud masyarakat sangat merasakan peranannya dan dia juga mempunyai keahlian dalam memberikan layanan kepada semua lapisan masyarakat, maka kewujudannya di tengah-tengah masyarakat laksana lampu yang menyinari kawasan di sekelilingnya.
Bagi golongan kedua iaitu orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya), ia membawa erti bahawa orang alim yang berperanan di dalam masyarakat, orang lain dapat mengambil manfaat dari ilmunya, tetapi dia sendiri jauh dari mengamalkan ilmu yang ada di dalam dadanya, seperti sebatang lilin yang membinasakan dirinya sendiri walaupun ia dapat menerangi kawasan yang ada di sekelilingnya.
Manakala golongan ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dengan ilmunya membawa erti orang yang alim yang mengamalkan segala ilmunya tetapi dia tidak dapat menyampaikan ilmunya kepada orang lain, mungkin dia tidak mempunyai kemampuan untuk menyampaikan ilmunya kepada orang lain, dan boleh jadi juga dia tidak mampu menyampaikan ilmu dan oranglain sukar memahami apa yang disampaikannya.
Imam Ghazali dalam kitab Ihya’nya membahagikan Ulama’ kepada tiga golongan:
- Ulama’ yang berterus terang mencari dunia dan memusatkan seluruh perhatian kepadanya. Mereka ini jenis ulama’ yang membinasakan diri sendiri dan orang lain.
- Ulama’ yang memanggil manusia ke jalan akhirat tetapi dia sendiri menolak dunia pada zahirnya sedang pada batinnya bertujuan mempengaruhi orang ramai dan menegakkan kemegahan dirinya. Ulama’ jenis ini adalah ulama’ yang membinasakan dirinya dan membahagiakan orang lain.
- Ulama’ yang memanggil manusia ke jalan Allah zahir dan batin. Ulama’ jenis ini membahagiakan diri sendiri dan orang lain.
0 comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Komenlah secara berhemah. Komen yang terlarang akan diremovekan.Jaga akhlak kita sama-sama ye..