Muhasabah Sebab-Sebab Kegagalan Gerakan Islam
[SN288] Kita semua sudah arif tentang gelagat parti politik yang akan bertanding di dalam pilihan raya di bawah sistem demokrasi di Malaysia, baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Di antara usaha terbaik dalam melemahkan parti lawan adalah dengan melaga-lagakan para pimpinan parti tersebut agar timbul perpecahan sesama sendiri yang akan melemahkan individu yang terlibat secara khusus dan parti itu secara amnya. Parti pemerintah yang sekular sememangya akan memusuhi parti Islam kerana bagi mereka, parti Islam adalah pengancam kepada takhta dan kekuasaan yang mereka nikmati sekarang. Justeru, mereka tidak akan biarkan parti Islam ini bangkit atau mendapat sokongan rakyat. Parti Islam pula, walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk bangkit selama berpuluh-puluh tahun lamanya dan ada yang telah menang pilihan raya, namun kita masih belum dapat melihat agama Islam ini tertegak secara benar, kerana mereka hanya bangkit dan berkuasa di dalam acuan demokrasi ciptaan kuffar Barat dan tidak mahu keluar darinya.
Di dalam kitab At-Takattul Al-Hizbiy karangan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dan juga kitab Syarh Ala Kitab At-Takkatul Al-Hizbiy karangan Syeikh Muhammad Hawari, dijelaskan bahawa sejak abad ke-13 Hijriah atau 19 Masehi, telah berdiri pelbagai gerakan yang bertujuan untuk membangkitkan umat Islam. Usaha-usaha tersebut sejauh ini belum meraih keberhasilan, sekalipun meninggalkan pengaruh yang cukup bererti bagi generasi yang datang sesudahnya untuk mengulangi usaha itu sekali lagi. Pengamat yang mencermati dengan saksama usaha-usaha tersebut, yakni mereka yang mengkaji gerakan-gerakan yang berusaha mewujudkan kebangkitan, akan mendapati bahawa penyebab utama kegagalan seluruh usaha itu ditinjau dari aspek keorganisasian dapat dikembalikan kepada empat faktor utama iaitu:-
Pertama: Gerakan-gerakan tersebut berdiri di atas dasar fikrah (pemikiran) yang masih umum tanpa batasan yang jelas, sehingga muncul kekaburan (ghamidhah) atau kesamaran (syibh ghamidhah). Lebih dari itu, fikrah tersebut tidak cemerlang, tidak jernih dan tidak murni.
Sesebuah gerakan atau parti mestilah berdiri di atas dasar pemikiran tertentu dan pemikiran ini ada yang bersifat umum (ammah) dan ada yang bersifat menyeluruh (kuliyyah). Kebanyakan dari pemikiran yang melandasi parti atau gerakan yang ada sekarang adalah pemikiran umum yang tidak memiliki batasan yang jelas. Para aktivis gerakan Islam mendakwahkan Islam dalam bentuk yang masih terlalu global atau umum. Mereka cuba menginterpretasikan Islam agar sesuai dengan situasi dan kondisi yang ada saat itu, atau menyesuaikan Islam agar cocok dengan peraturan-peraturan selain Islam yang akan diambil, sehingga Islam seolah-olah sesuai dengan hal-hal tersebut. Dengan demikian, penakwilan seperti itu akhirnya hanya menjadi legitimasi untuk mempertahankan kondisi yang ada atau untuk mengambil peraturan selain Islam. Kita melihat sebagai contoh berapa banyak dari gerakan atau parti yang mendakap demokrasi dan langsung tidak mahu melepaskan dakapan mereka atas anggapan bahawa ‘inilah’ sistem terbaik yang ada. Lalu Islam diinterpretasi, malah ditundukkan agar sesuai dengan demokrasi.
Pemikiran yang menjadi asas gerakan atau parti itu juga telah kehilangan kebersihan (niqa’)nya. Jika kita melihat kepada kebanyakan gerakan Islam, kita melihat bahawa sebahagian mereka tidak menyedari bahawa mereka telah diresapi dengan pemikiran-pemikiran kufur Barat. Lebih buruk, banyak sekali kaedah-kaedah syarak yang mereka gunakan di dalam menjustifikasikan setiap jalan yang mereka ambil (yang sebenarnya adalah jalan yang diajarkan oleh Barat) agar dilihat benar dan ‘halal’ oleh ahli-ahli mereka dan juga oleh masyarakat. Sebagai contoh mereka menggunakan kaedah syarak yang berbunyi, ma la yatimmul wajib illa bihi fahua wajib (suatu perkara/perbuatan yang menyempurnakan suatu kewajipan, maka perkara/perbuatan tersebut juga adalah wajib) di mana kaedah ini digunakan untuk mewajibkan jalan demokrasi atau mengundi di dalam pilihan raya kerana dikatakan hanya dengan jalan pilihan raya sahajalah akan membawa kepada kekuasaan. Akhirnya, sistem demokrasi yang jelas-jelas merupakan sistem kufur, menjadi “halal” berdasarkan kaedah ini. Walhal kita semua mengetahui bahawa Rasulullah SAW mendapat kekuasaan melalui tertegaknya Negara Islam di Madinah tanpa melalui pilihan raya. Secara congak sahaja kita dapat memahami bahawa ada jalan (thariqah) lain yang diambil oleh Rasulullah SAW di dalam menegakkan Negara Islam yang mana thariqah inilah yang wajib diikuti oleh gerakan Islam, bukannya melalui thariqah demokrasi-pilihan raya yang diajarkan oleh Barat.
Dengan membawa segala kaedah syarak ke arah membolehkan jalan demokrasi, mereka sesungguhnya telah berusaha menafsirkan Islam agar sejalan dengan pemikiran-pemikiran Barat, bahkan mereka pergi lebih jauh sehingga mendakwa bahawa jalan yang Barat ajarkan itu (demokrasi) adalah sebahagian dari Islam! Walhal apa yang seharusnya dilakukan oleh mereka adalah usaha pembersihan (an-niqa’) pemikiran-pemikiran kufur dari kalangan ahli mereka dan juga masyarakat, agar tidak ada lagi pemikiran atau tsaqafah asing dalam benak kaum Muslimin dan digantikan dengan pemikiran-pemikiran Islam semata-mata. Dengan cara ini, barulah kemurniaan pemikiran Islam itu sentiasa terjaga. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ini semua berlaku kerana tidak adanya kejernihan fikrah pada mereka di dalam memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang wajib mereka ikuti.
Kita tidak pelik sekiranya parti atau gerakan sekular, nasionalis atau patriotis menghalalkan, mengambil dan mengamalkan kesemua pemikiran Barat di dalam perjuangan mereka. Gerakan semacam ini sudah terlalu banyak menelan pil-pil khayal ciptaan Barat sehingga tidak lagi sedar akan bahaya pemikiran kufur yang mereka kembang atau perjuangkan, bahkan mereka meyakini dan berusaha meyakinkan orang lain bahawa perjuangan mereka untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanahair melalui acuan demokrasi itu adalah suatu perjuangan yang suci. Namun sungguh sayang apabila melihat gerakan Islam juga turut menelan pil-pil khayal ciptaan Barat ini, yang akhirnya, baik gerakan sekular mahupun gerakan Islam, kedua-duanya telah dapat ‘dijinakkan’ dengan mudah oleh Barat, sehingga tercapailah hasrat Barat agar gerakan-gerakan ini menganggap bahawa perjuangan demokrasi adalah perjuangan terbaik, malah hingga ke tahap menganggap bahawa itu adalah perjuangan Islam yang sebenar! Kuffar Barat tersenyum lebar setelah melihat gerakan sekular dan gerakan Islam ini tidak lagi dapat dan tidak mahu keluar dari landasan demokrasi yang mereka (Barat) cipta.
Gerakan Islam yang tidak mempunyai fikrah yang jernih dan murni sudah tidak dapat lagi membezakan di antara syura (musyawarah) dan demokrasi. Mereka malah tidak mampu memahami bahawa musyawarah adalah hukum syariat yang dijadikan rujukan oleh masyarakat atau negara untuk menetapkan sesuatu pendapat yang bersifat mubah (harus), bukannya untuk membuat hukum,manakala hukum (musyawarah) itu sendiri pula adalah sunat (mandub) dan bukannya wajib (fardhu). Ia sama sekali berbeza dengan demokrasi di mana demokrasi adalah satu sistem di mana undang-undang dibuat oleh manusia secara majoriti. Di dalam demokrasi, manusia dipilih (melalui pilihan raya) untuk menjalankan fungsi tasyri’ (membuat hukum) di mana wakil-wakil yang menang (di dalam pilihan raya) berkumpul beramai-ramai di Parlimen dan menjalankan tugas tasyri’ dengan mengambil-alih hak Allah sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum).
Kedua: Gerakan-gerakan tersebut tidak mengetahui thariqah (metod) bagi penerapan fikrahnya. Bahkan fikrahnya diterapkan dengan cara-cara yang menunjukkan ketidaksiapan gerakan tersebut dan penuh dengan kesimpangsiuran. Lebih dari itu, thariqah gerakan-gerakan tersebut diliputi kekaburan dan ketidakjelasan.
Fikrah dan thariqah yang dimaksudkan di sini ialah fikrah dan thariqah parti di dalam perjuangannya untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan semasa menubuhkan parti. Bagi sesebuah gerakan Islam, fikrah yang seharusnya diguna pakai (adopted) oleh mereka hendaklah fikrah Islam semata-mata manakala thariqah yang wajib difahami dan diambil di dalam perjuangan adalah thariqah yang telah dilalui (ditetapkan) oleh Rasulullah SAW. Contohnya, sekiranya sesebuah parti itu memahami (secara fikrah) bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi dan bertahalluf dengan orang-orang kafir di dalam menegakkan Negara Islam, maka secara thariqahnya, parti itu pasti tidak akan melakukan hal sedemikian. Namun oleh kerana ketidakjelasan dan kesimpangsiuran di dalam hal ini, maka berapa banyak dari parti Islam sudah tidak lagi mampu mendeskripsi dan menterjemahkan dengan jelas thariqah perjuangan yang mereka harus tempuhi. Akibatnya, mereka ‘kaut’ segala thariqah yang pada pandangan mereka boleh mendatangkan manfaat kepada mereka tanpa memahami atau memperhatikan aspek fikrah dan thariqah yang sahih di dalam merealisasikan sebuah perjuangan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Pelbagai gerakan Islam yang ada juga selalu tidak konsisten di dalam perjuangan mereka. Mereka banyak terjebak di dalam melakukan tawar-menawar atau berkompromi dengan pemerintah, ada yang suka membodek pemerintah, suka mengambil jalan mudah dan selamat (play safe) dan mahu dianggap moderat, ada pula yang sanggup bekerjasama atau bertahalluf dengan parti-parti lain, termasuk parti kafir dan sekular (walaupun tidak sehaluan). Ada yang menolak dari terlibat dalam politik dan hanya memilih aktiviti-aktiviti ibadah atau aktiviti-aktiviti sosial tertentu sahaja, tanpa menyedari bahawa semua ini bercanggah dengan fikrah dan thariqah sebagai sebuah gerakan Islam yang ingin memperjuangkan Islam. Di sinilah, jelas kelihatan bahawa gerakan atau parti-parti ini sesungguhnya tidak mempunyai jalan yang jelas dan jernih di dalam perjuangannya, penuh campur aduk (antara hak dan batil) dan penuh kesimpangsiuran.
Ketiga: Gerakan-gerakan tersebut bertumpu kepada orang-orang yang belum sepenuhnya mempunyai kesedaran yang benar. Malah tidak kurang yang masih belum mempunyai niat yang benar meskipun mereka berbekal keinginan dan semangat.
Sebagaimana dimaklumkan, kesedaran terhadap fikrah dan thariqah perjuangan parti merupakan suatu yang penting kerana ia dibina dari asas akidah Islam. Dari sinilah akan wujud sebuah atmosfera keimanan (jaw al-iman). Atmosfera keimanan ini akan mendorong seseorang untuk selalu bersemangat tatkala mengaitkan segala aktiviti atau tindakan yang dilakukannya dengan kaedah dasar yang menjadi pangkal kepada aktiviti tersebut, iaitu ‘keimanan’ kepada Allah SWT. Segala aktivitinya dikaitkan dengan dosa dan pahala dan bukannya dilakukan berdasarkan manfaat atau suka-suka. Dia faham bahawa setiap aktivitinya akan dihisab oleh Allah SWT. Tanpa adanya kesedaran terhadap fikrah dan thariqah perjuangan parti berdasarkan keimanan kepada Allah SWT, seseorang itu akan mudah sekali untuk luntur, surut, mundur dan bersikap kompromi dalam perjuangan.
Keghairahan parti di dalam mendapatkan ahli-ahli baru tanpa berlandaskan akidah Islam dan keimanan kepada Allah SWT, hanya akan melahirkan ahli-ahli yang tidak mempunyai kesedaran yang benar. Malah, kegagalan parti di dalam melakukan tasqif (pembinaan -melalui kelas-kelas yang istiqamah) ke atas ahli-ahli, juga akan melahirkan ahli-ahli yang hanya berbekal semangat tanpa kesedaran yang benar akan perjuangan parti. Kita menyaksikan bagaimana sesebuah parti Islam yang terlalu ghairah di dalam mendapatkan tokoh-tokoh masyarakat, apatah lagi kalau tokoh tersebut berlatar belakangkan agama, ke dalam parti mereka. Mereka ini, setelah bergabung dengan parti tersebut, namun langsung tidak dibina dengan fikrah dan thariqah parti, akhirnya mereka akan menimbulkan masalah di dalam parti atau akan keluar tidak lama selepas itu, setelah “tidak tahu” apa sebenarnya peranan mereka di dalam parti dan juga “tidak jelas” ke manakah hala tuju sebenar parti yang mereka sertai itu. Seringkali juga kita dengar, ahli-ahli yang keluar dari parti kerana “kecewa” dengan parti. Kekecewaan di sini sebenarnya timbul kerana tidak berlakunya pembinaan (tasqif) di dalam parti sehingga dia sudah tidak tahu apakah arah perjuangan parti atau dia sering melihat parti tersebut “lari” atau tersasar dari perjuangan yang dia harapkan.
Keempat: Orang-orang yang menjalankan tugas gerakan-gerakan tersebut tidak mempunyai ikatan yang benar. Ikatan yang ada hanyalah struktur organisasi, disertai dengan sejumlah deskripsi mengenai tugas-tugas organisasi dan sejumlah slogan-slogan organisasi. Oleh kerana itu, wajarlah jika kelompok-kelompok tersebut bergerak hanya dengan bekal kesungguhan dan semangat yang dimiliki sehinggalah bekalan itu habis. Kemudian aktivitinya berhenti dan akhirnya lenyap. Setelah itu berdiri gerakan-gerakan lain dengan orang-orang yang berlainan pula. Mereka pun bergerak seperti orang-orang sebelumnya, sampai akhirnya pada batas tertentu mereka kehabisan bekal, semangat dan kesungguhan yang mereka miliki.
Sekiranya sesebuah gerakan itu tidak menjadikan ‘akidah Islam’ sebagai ikatan parti, maka ikatan yang menyatukan para aktivis atau anggota parti atau gerakan tersebut bukanlah ikatan yang benar. Parti yang diikat dengan ikatan bangsa (assabiyyah) atau patriotisme (wathaniyyah), bukan sahaja hal ini bertentangan dengan Islam, malah akan mewujudkan satu ikatan yang rapuh dalam parti. Mereka menyertai parti biasanya kerana ada kepentingan tertentu dan lebih buruk, kepentingan tersebut menyalahi Islam. Begitulah juga dengan kedudukan mereka yang menyertai parti Islam atas dasar “manfaat”, maka para ahli yang bergabung (atau berkumpul) di dalam gerakan tersebut hanya berbekalkan keinginan tertentu dan manfaat belaka. Ini semua bukanlah ikatan yang didasarkan kepada akidah Islam. Seringkali dan senantiasa kita melihat bahawa parti-parti yang ada akan bersungguh-sungguh mencari orang-orang yang berpengaruh atau memiliki kedudukan di dalam masyarakat seperti tokoh-tokoh agama, bekas mufti, bekas pegawai tentera, para artis, doktor, peguam terkemuka, orang-orang kaya dan seumpamanya untuk menjadi ahli mereka. Pendek kata, mereka sangat berharap, menumpukan dan mencari orang-orang kenamaan atau memiliki status sosial yang tinggi dalam masyarakat agar menjadi ahli parti mereka. Ini adalah kerana mereka mengharapkan “manfaat” dengan kemasukan orang tersebut yang justeru telah menimbulkan ‘ikatan manfaat' dan bukannya ikatan atas dasar ‘akidah Islam’.
Di sinilah kesilapan sesebuah gerakan apabila hanya ghairah menarik ahli atas dasar manfaat dan bukannya atas dasar akidah Islam. Keadaan ini justeru akan mewujudkan ikatan yang amat longgar di kalangan anggota parti. Ikatan manfaat ini amat rapuh sifatnya, di mana seseorang individu itu akan hanya berada di dalam parti selama mana dia masih merasakan atau memperolehi manfaatnya (seperti jawatan, pangkat, harta, populariti dan sebagainya). Apabila manfaat ini telah tiada, maka dia tidak akan teragak-agak untuk keluar parti dan mencari parti lain yang akan dapat memberi manfaat yang diingininya. Begitulah apa yang terjadi dan terus terjadi apabila sesebuah parti hanya obses mengambil seseorang tokoh untuk dimasukkan ke dalam partinya atas ikatan manfaat, yang seringkali berakhir dengan menikam diri sendiri apabila ikatan manfaat itu hilang.
Ahli-ahli parti yang tidak diikat dengan ikatan mabda’iyyah (ikatan ideologi) Islam yang benar di dalam sesebuah parti, maka segala aktiviti mereka, selain didasarkan atas asas manfaat, dijalankan kerana adanya sejumlah gerakerja dan ‘arahan’ yang telah ditetapkan oleh parti. Aktiviti yang mereka lakukan bukannya digerakkan oleh dorongan akidah Islam tetapi kerana adanya deskripsi tugas atau arahan parti semata-mata. Dengan kata lain, mereka melakukan aktiviti bukan kerana digerakkan oleh aspek fikrah dan thariqah parti yang didasarkan kepada keimanan yang ditanam oleh parti kepada mereka, tetapi cuma kerana adanya tugas dan arahan dari kepimpinan semata-mata. Kerana itu, walaupun mereka nampak bersemangat di dalam menjalankan tugas atau aktiviti, lama-kelamaan apabila bekal semangat dan kesungguhan ini sudah mula menurun dan habis, maka mereka akan letih dan semakin perlahan dan akhirnya berhenti.
Demikianlah sedikit sebanyak pemerhatian dan muhasabah terhadap gerakan-gerakan Islam agar mereka dapat menilai semula dan menerima dengan ikhlas, seterusnya memperbaiki diri dalam rangka berjuang untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Wallahu a’lam.
ade betol nye la jugak.kdg2 dorang ni terang2 je burok2 kan pihak sana sini.
ReplyDelete