Friday 2 December 2011

Filem Ombak Rindu: Antara Mesej & Kontroversi


1 Disember 2011,rasanya satu tarikh sejarah buat saya sebab tarikh ni buat julung kali saya berpeluang tengok wayang filem yang betul-betul ditayangkan untuk hari pertama. Kebetulan filem yang ada pada waktu tu hanya filem Ombak Rindu. So, apalagi belilah tiket dengan kawan.

Filem ni ramai yang kata akan meletup sebab diadaptasi dari novel terkenal,Ombak Rindu. Pengarah filem ni pun pengarah yang sama mengarahkan filem Lagenda Budak Setan.

Dalam filem Ombak Rindu ni,kontroversi memang tak dapat dinafikan. Aksi panas yang dikatakan oleh kebanyakkan blogger memang secara tak langsung 'mempromosikan' lagi filem ni. Aksi panas yang dimaksudkan ialah adegan antara Aaron Aziz dan Maya Karin.


Dek kerana aksi itu,maka hebohlah satu Malaysia tentang negatifnya filem ni. Dek kerana aksi itu juga segala aspek positif yang cuba dipaparkan menjadi negatif.

Secara peribadi,saya berpandangan aksi panas yang dipaparkan dalam Ombak Rindu tidak sepanas aksi lain yang lagi terang-terangan mempromosikan seks. Lihat saja filem Embun, Klip 3GP, ...Dalam Botol, malah dalam Karipap-Karipap Cinta pun,'promosi' seks lebih ketara. Adegan yang dikatakan panas itu tidaklah sampai membawa maksud lucah kerana dalam babak tersebut, mereka memainkan watak sebagai suami isteri.

Bukan menghalalkan adegan tersebut,saya akui dosa tetap berdosa tetapi dalam dunia akhir zaman, saya merasakan semua program ada dosanya. Teringat kata-kata Akhil Hayy dalam kebanyakkan ceramahnya, nak buat apapun dalam dunia sekarang bawa iman sekali.

Sedikit review tentang filem ni, Ombak Rindu ada kelainannya yang tersendiri. Adaptasi yang dilakukan oleh pengarah filem ini,Osman Ali nyata ada perubahan pada watak Hariz. Kalau dalam novel,watak Hariz digambarkan terlalu keras dan 'hitam' namun dalam filem,watak 'hitam' Hariz berjaya ditukar menjadi seorang lelaki yang berubah setelah mengahwini Izzah.

Maya Karin sebagai Izzah
Ketabahan hati Izzah dalam filem ni turut menarik minat saya.Kenapa? Kerana watak Izzah menggambarkan ketabahannya sebagai seorang wanita yang bangun secara hikmah walaupun dirinya dinodai oleh Hariz. Dia berjaya memujuk Hariz mengahwininya dan Izzah boleh dikatakan berjaya mengubah watak 'hitam' Hariz menjadi seorang lelaki yang ada perikemanusiaan.

Ujian demi ujian yang melanda perkahwinan mereka berjaya ditempuhi.Kehadiran Mila pada awalnya dilihat seperti watak yang cukup jahat. Tapi nyata meleset. Mila yang berkahwin dengan Hariz pada hakikatnya ada perasaan murni sebagai seorang wanita. Pengorbanan Mila pada akhir filem ni mungkin menyentuh sikit perasaan. Dia sanggup diceraikan demi kebahagiaan Izzah dan Hariz.


Filem Ombak Rindu ni bagi saya sepatutnya membuktikan keberanian untuk menyampaikan mesej kelebihan poligami. Tertarik dengan kata-kata Izzah yang sanggup bermadu tapi ditolak oleh Mila. Pada pandangan saya, apa salahnya kalau pengarah teruskan pengakhiran cerita ni dengan mengubahnya kepada yang baru. Tunjukkan kelebihan poligami kepada orang kita. Kalau watak Hariz boleh diubah kenapa pengakhiran filem ni tak boleh?

Apapun, Ombak Rindu tetap ada pro dan kontra. Positif filem ini ialah paparan mesej-mesej yang disampaikan dan negatif filem ini ialah aksi panas yang diperkatakan. Gunakan akal dan bawalah iman dalam menilai.

0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Komenlah secara berhemah. Komen yang terlarang akan diremovekan.Jaga akhlak kita sama-sama ye..