Thursday 1 December 2011

Sejarah Penubuhan Parti BERJAYA di Sabah


Hubungan antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan ketika pemerintahan Tunku Abdul Rahman pada awalnya terlalu baik. Tiada masalah besar timbul dalam hubungan ini. Namun apabila pengaruh pemimpin Sabah yakni Tun Mustapha terlalu kuat dan berkuasa di Sabah, hubungan erat tadi semakin longgar.

Tindak tanduk Tun Mustapha semakin sukar dikawal dan banyak bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Tun Abd Razak. Pembaziran wang, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa memburukan lagi keadaan.

Tahun 1971 pergeseran antara Tun Mustapha dengan kerajaan pusat makin serius terutama berkaitan dengan isu pengurusan ekonomi (hasil balak dan minyak) dan autonomi Sabah. Kerajaan Pusat cuba meredakan ketegangan dengan menawarkan jawatan Menteri Pertahanan peringkat pusat kepada Tun Mustapha tetapi ditolak oleh beliau. Penolakan ini memanjangkan lagi pergeseran dua belah pihak.

Berikutan itu, Tun Abdul Razak telah memberi galakan kepada Naib Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Harris Salleh dan Tun Fuad bagi menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada 15 Julai 1975 (Hairi Abdullahet al, 1986).

Pada peringkat awal parti ini dipimpin oleh Datuk Harris Mohd Salleh yang dibantu oleh Timbalan Presiden Datuk Ganie Gilong, Yeo Pao Tzu dan Haji Ampong Puyun. Tuan Haji Mohd Noor Mansur sebagai Setiausaha Agung, Joseph Pairin Kitingan sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Datuk Peter Mojuntin sebagai Bendahari.

Sokongan kerajaan Pusat ke atas BERJAYA menyebabkan Tun Mustapha tidak dapat menghalang kemaraan parti tersebut. Selain daripada sokongan ahli-ahli politik Sabah, BERJAYA turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli politik Persekutuan dan Sarawak. Antaranya ialah Abd Gapar Baba, Abd Rahman Yaacub dan Yang Dipertua Negeri Sabah sendiri iaitu Tun Fuad.

Objektif penubuhan BERJAYA ialah:

  • Untuk mengekalkan dan menjamin integrasi, kemerdekaan dan status demokrasi Malaysia serta perinsip-perinsip Rukun Negara.
  • Untuk menjaga dan menjamin hak-hak dan kepentingan Sabah dalam Malaysia
  • Untuk meningkatkan, memajukan dan menjamin sebuah kerajaan rakyat dan untuk rakyat yang asli, progresif dan demokrasi.
  • Untuk mengagihkan kekayaan dan peluang-peluang dengan lebih seimbang daripada yang terdapat dalam sistem Sabah pada masa tersebut
  • Untuk menjamin dan memajukan kedudukan istemewa penduduk tempaan serta hak-hak perlembagaan dan keistemewaan setiap warganegara di Sabah yang berbilang bangsa, budaya dan agama

BERJAYA mendapat sokongan daripada penduduk tempatan dan hasilnya,pada pilihanraya negeri April 1976,daripada 48 kerusi yang dipertandingkan, BERJAYA telah memenangi 28 kerusi (Hairi Abdullahet al, 1986). USNO pula hanya memenangi 20 kerusi sahaja yang kebanyakannya dimenangi di kawasan penduduk beragama Islam.

Namun,BERJAYA hanya mampu menawan 3 buah kawasan penduduk Islam sahaja iaitu Lahad Datu, Papar dan Kawang. Kemenangan BERJAYA sebenarnya terletak pada undian yang diperoleh daripada orang KadazanDusun dan Cina. Dan punca utama kejatuhan USNO ialah gejala penyelewengan kerajaan USNO serta kebangkitan semangat nasionalisme penduduk tempatan.

* penulis asal artikel ni tak diketahui sampai sekarang

0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Komenlah secara berhemah. Komen yang terlarang akan diremovekan.Jaga akhlak kita sama-sama ye..